PEMBANGUNAN KEMUDAHAN BEKALAN ELEKTRIK DI SELANGOR SEBELUM TAHUN 1940
The Development of Electricity Supply Facilities in Selangor before 1940
DOI:
https://doi.org/10.22452/Keywords:
Jabatan Elektrik, Kuala Lumpur, Klan, Stesen Jana Kuasa, Sistem PembekalanAbstract
Menjelang penghujung abad ke-19, proses untuk membangunkan kemudahan asas di Selangor mula diberi perhatian oleh pihak British bagi memenuhi keperluan sosioekonomi kolonial. Salah satu kemudahan asas penting yang telah dibangunkan oleh pihak British ialah kemudahan bekalan elektrik yang menyediakan sumber tenaga sokongan untuk sektor perlombongan bijih timah dan kehidupan harian di bandar. Namun sehingga kini kajian mengenai kemudahan asas tersebut masih lagi tidak diberi perhatian. Sehubungan dengan itu, kajian ini bertujuan mengkaji perkembangan kemudahan bekalan elektrik di Selangor antara penghujung tahun 1890-an sehingga tahun 1940. Objektif kajian adalah untuk menjelaskan pembangunan infrastruktur penjanaan dan perluasan rangkaian pembekalan yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Elektrik. Perbincangan mengenainya dibuat menggunakan kaedah kajian perpustakaan dan kualitatif dengan merujuk kepada sumber pertama seperti Annual Report of the Electrical Board dan Annual Report and Accounts of the Electrical Department. Hasil kajian menunjukkan pembangunan kemudahan bekalan elektrik di Selangor yang pada mulanya dibuat secara terasing dengan memfokuskan kepada kawasan yang berkepentingan seperti Kuala Lumpur kemudiannya telah diperluaskan dengan melibatkan beberapa kawasan lain seperti Klang dan Kuala Kubu Bharu. Penubuhan organisasi khusus iaitu Jabatan Elektrik untuk menguruskan perkhidmatan bekalan elektrik dan pembinaan stesen jana kuasa serta perluasan rangkaian pembekalan elektrik menyebabkan penyediaan kemudahan bekalan elektrik di Selangor sebelum tahun 1940 menunjukkan kemajuan.




