KEKANGAN BURUH DALAM PEMBANGUNAN SEKTOR PERIKANAN DI SEMENANJUNG MALAYSIA

Main Article Content

Mazlan Majid

Abstract

Penulisan ini memfokuskan kepada isu kekurangan sumber tenaga manusia tempatan dalam sektor perikanan marin di Semenanjung Malaysia. Kedudukan Semenanjung Malaysia yang menghadap Laut China Selatan di sebelah timur dan Selat Melaka serta Laut Andaman di sebelah barat membolehkan pihak kerajaan di Semenanjung Malaysia membangunkan sektor perikanan marin dengan mengembangkan aktiviti pengeluaran perikanan di Zon Ekonomi Eksklusif dan sehingga ke Lautan Pasifik. Input paling penting dalam apa-apa aktiviti ekonomi adalah sumber tenaga manusia. Pekerjaan sebagai nelayan di laut dalam yang bekerja di atas bot-bot besar adalah dari jenis aktiviti ekonomi yang memerlukan sumber manusia yang tahan lasak dalam melakukan kerja-kerja berbahaya dan berat. Keadaan ini telah menyebabkan pekerjaan sebagai nelayan di Malaysia kurang mendapat sambutan, sehingga sektor perikanan mengalami masalah kekurangan nelayan tempatan untuk bekerja di atas bot-bot perikanan di laut dalam. Data Perangkaan Perikanan Malaysia Tahun 2021 menunjukkan pembangunan sektor perikanan di Semenanjung Malaysia menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja tempatan yang berminat untuk menjadi nelayan. Keadaan ini berpunca dari beberapa faktor yang menyebabkan pembangunan sektor perikanan di Semenanjung Malaysia tidak mencerminkan kedudukannya yang strategik di rantau ini untuk mengakses sumber-sumber perikanan di laut dalam dan lautan antarabangsa. Penulisan ini akan meneliti daya saing dan potensi sektor perikanan di Semenanjung Malaysia serta isu dan masalah utama yang dihadapi. Kekangan buruh sebagai isu utama dalam usaha mencapai pembangunan mampan perikanan akan diberi fokus dan seterusnya mencadangkan dasar dan peraturan jangka panjang untuk mengatasi masalah yang berlaku. Menurut laporan dari Banci Sendi 2017/2018 yang dijalankan oleh pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), populasi nelayan di Malaysia semakin meningkat usia mereka kerana tidak ramai golongan muda yang berminat menjadi nelayan pelapis. Daripada segi demografi nelayan, didapati lebih separuh nelayan berumur 50 tahun dan ke atas, manakala hanya satu perempat sahaja yang berumur antara 20 hingga 39 tahun. Kurangnya minat golongan muda untuk terlibat sebagai nelayan telah menyumbangkan kepada kemerosotan kemajuan sektor perikanan sebagai penyumbang pembangunan ekonomi yang penting bagi masyarakat di pesisir pantai. Penulisan ini akan meneliti isu-isu yang berkaitan dengan populasi nelayan muda yang semakin berkurang sehingga menjejaskan usaha pembangunan sektor perikanan di Malaysia pada masa hadapan.


 


Kata Kunci: Nelayan, Buruh, Populasi, Penuaan, Perikanan


 

Downloads

Download data is not yet available.

Article Details

Section
Articles